Jumlah Pengunjung

Friday 4 August 2017

PCM DAN PEMUDA UMNO GEMPUR SPRM PULAU PINANG!!!


Bertempat di tingkat bawah Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang bersama Parti Cinta Malaysia serta beberapa NGO hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki.

Memorandum berkenaan bertujuan menggesa SPRM mempercepatkan siasatan terhadap isu-isu rasuah yang dilaporkan berlaku di Pulau Pinang. Selain itu, Pemuda UMNO juga mahu isu-isu rasuah yang membabitkan kerajaan DAP negeri diselesaikan dengan secepat mungkin bagi menghilangkan kerisauan rakyat terhadap pentadbiran negeri.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim, rakyat Pulau Pinang kini berasa bimbang dengan peningkatan dakwaan rasuah yang berlaku di negeri ini khususnya yang membabitkan pemimpin-pemimpin tempatan.

Selain dari dakwaan rasuah yang dilapor membabitkan agensi kerajaan negeri, khabar angin mengenai penyelewengan yang berlaku terhadap projek-projek pembangunan di negeri ini juga meresahkan semua pihak.

Justeru itu, beliau mewakili seluruh anggota Pergerakan UMNO negeri Pulau Pinang serta rakyat yang mahukan pentadbiran negeri yang telus serta amanah, merayu agar pihak SPRM segera membersihkan negeri ini dari unsur-unsur rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam satu kenyataan kepada media pula menyatakan, beliau mengambil berat terhadap tindakan kerajaan negeri berhubung IBR, berikutan Pulau Pinang adalah negeri kelahirannya.

“Mengapa saya terlalu ambil berat terhadap Pulau Pinang adalah kerana saya dilahirkan di sini. Malu kalau negeri saya sendiri tidak mahu tandatangani IBR yang diusahakan oleh saya sendiri,” katanya.

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan ketika ditemui pula menegaskan pihaknya akan terus berjuang untuk memastikan pentadbiran negeri Pulau Pinang bebas dari gejala rasuah.

Beliau juga berjanji akan menyokong semua inisiatif SPRM yang dibuat untuk mengekang unsur-unsur rasuah didalam pentadbiran kerajaan khususnya di negeri Pulau Pinang. 

– Utaranews.com





No comments:

Post a Comment

Member BSK