Jumlah Pengunjung

Thursday 10 November 2016

MINYAK MASAK 42.25 TAN METRIK DIRAMPAS!!! #KPDNKK #CaringMinistry


KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Sebanyak 22,498 premis diperiksa manakala 42.25 tan metrik minyak masak bernilai kira-kira RM120,000 dirampas sejak 21 Okt sehingga semalam.

Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Mohd Roslan Mahayudin berkata daripada kesemua premis yang diperiksa, pihaknya mengesan 25 kesalahan.

"Antaranya menyorok minyak masak (10 kes), gagal selenggara buku stok (lima), dan menjual tanpa lesen (empat)," katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam tempoh sama, 269 aduan diterima dari seluruh negara, dengan 144 daripadanya dapat diselesaikan dan 125 lagi dalam siasatan, kata Mohd Roslan.

"Selangor mencatat jumlah aduan tertinggi iaitu sebanyak 75, diikuti Johor (43) dan Kuala Lumpur (24)," katanya.

Mohd Roslan berkata aduan itu meliputi antara lain ketiadaan bekalan minyak masak dan harga yang tinggi.

Pada 26 Okt lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan harga minyak masak paket 1kg kekal RM2.50 manakala minyak masak dalam botol dijual mengikut harga pasaran berkuat kuasa 1 Nov.

Sementara itu di Ipoh, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diminta membuat pemeriksaan bagi memastikan harga minyak masak botol di pasaran kini setara dengan kos yang tanggung pihak industri.

Exco Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Masyarakat Sivil negeri Datuk Samsudin Abu Hassan berkata ini kerana harga jualan minyak masak botol di pasaran dilihat tidak munasabah selepas Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) dilaksanakan mulai 1 Nov lalu.

"Sebagai contoh kalau dulu harga minyak masak botol untuk 5 kilogram (kg) adalah RM13.35 kini dijual sehingga RM21, kenaikan harga seperti itu tidak relevan.

"Oleh itu saya cadang kerajaan dan kementerian berkaitan melihat semula adakah harga berkenaan memang harga yang sepatutnya dijual selepas mengambil kira semua kos yang terlibat atau pihak industri sengaja mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan COSS," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Gas Petroleum Cecair (LPG) dan Penyampaian Anugerah Kedai Harga Patut 2016 Perak di Bangunan Persekutuan di sini, hari ini.

Samsudin berkata kerajaan pastinya mempunyai mekanisme tertentu untuk menangani masalah berkaitan dan meminta supaya ia dapat dipercepatkan agar rakyat tidak terus terbeban.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Gas Petroleum Cecair (LPG) dan Penyampaian Anugerah Kedai Harga Patut 2016 Perak di Bangunan Persekutuan di sini, hari ini.

Samsudin berkata kerajaan pastinya mempunyai mekanisme tertentu untuk menangani masalah berkaitan dan meminta supaya ia dapat dipercepatkan agar rakyat tidak terus terbeban.

Di Kuantan, Pengarah KPDNKK Pahang Sharuddin Jali tidak menafikan minyak masak paket 1kg cepat kehabisan stok di pasar raya mahupun kedai runcit kerana peniaga makanan yang sepatutnya membeli minyak masak botol mengambil kesempatan membeli minyak paket.

"Minyak masak paket 1kg bersubsidi ini hanya untuk kegunaan isi rumah dan bukan untuk berniaga kerana sudah ada kuota ditetapkan setiap 1.5 kilogram minyak ini untuk setiap orang isi rumah.

"Tetapi peniaga yang membeli minyak bersubsidi ini bagi tujuan berniaga dan ia telah mengambil hak golongan sasar isi rumah. Keadaan ini adalah salah satu faktor minyak ini kurang dalam pasaran," katanya.

Sehubungan itu, katanya jika mana-mana peniaga didapati membeli minyak masak paket 1kg dengan kuantiti yang terlampau banyak, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana memiliki barangan terkawal tanpa lesen.

"Kalau kata minyak botol mahal, itu tidak boleh dijadikan alasan sebab harga sekarang merupakan harga pasaran sebenar. Harga sebelum ini adalah harga yang kerajaan tanggung subsidi, maknanya kerajaan juga tanggung peniaga sekali dahulu," katanya.

Rata-rata pengguna yang ditemui Bernama memaklumkan bekalan minyak masak di pasar raya mahupun kedai runcit sering kali cepat kehabisan stok namun minyak masak berasaskan jagung dalam botol yang dijual mahal pula banyak di pasaran.

Peniaga kedai makan Muhamad Akman Mustafa, 43, berkata pada masa ini dia sangat tertekan kerana sukar mendapatkan bekalan minyak masak sehingga terpaksa mencari di beberapa pasar raya.

Seorang lagi peniaga kedai makan Zaini Mat Zain, 50, berkata dia juga tidak terkecuali menghadapi masalah mendapatkan bekalan minyak masak untuk menjalankan perniagaannya.

Sementara itu, KPDNKK Perak merampas 3,000 kilogram minyak masak yang dianggarkan bernilai RM14,000 dalam serbuan di sebuah premis di Sungai Siput hari ini.

Ketua Unit Anti Pencatutan KPDNKK Perak Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata ketika serbuan pukul 11.30 pagi itu, tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 40 hingga 50-an termasuk pemilik premis menjual peralatan sembahyang itu sedang memunggah kotak mengandungi minyak ke atas lori.

"Mereka sedang memunggah 150 kotak minyak masak dengan setiap kotak berisi 20 paket ke atas lori untuk dihantar ke ladang ternakan khinzir di Tanjung Rambutan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati lesen premis itu hanya boleh menyimpan 500 kilogram minyak masak sahaja tetapi rampasan tersebut telah melebihi jumlah yang sepatutnya.

"Minyak masak bersubsidi untuk kegunaan industri disorokkan dalam premis tersebut," katanya sambil menambah premis itu telah beroperasi sejak 2012.

Menurut Ahmad Ahrazzuddin, pihaknya akan mengambil kenyataan tiga suspek terbabit untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barangan kawalan melebihi had yang ditetapkan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Member BSK