Menurut beliau, kelekaan saat-saat akhir boleh membawa padah walaupun situasi terkini menunjukkan peluang berpihak kepada BN untuk mendahului dalam PRK Sungai Besar ini.

Budiman turut memberi tauladan mengenai kisah arnab dan kura-kura dalam ucapan: "Tatkala kita menjadi arnab yang pantas dan laju berlari jangan kita tertidur di pertengahan.

"Tinggal kurang 48 jam lagi, jangan kita leka. Apabila kita leka, kura-kura yang berwarna hijau dan oren dengan perlahan-lahan lalu memintas kita.
"Kelekaan sesaat akan membawa keburukan berpanjangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 3,000 jentera wanita BN Selangor dalam majlis pelancaran Gelombang Biru Wanita BN PRK Sungai Besar di sini hari ini.

Majlis itu dilancarkan oleh Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar yang turut dihadiri Ketua Wanita BN Selangor, Datuk Nor Hayati Onn.

Budiman dalam ucapannya turut memberitahu, hasratnya untuk mempunyai Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Besar di Sekinchan jika memenangi PRK setelah memiliki pejabat di Sungai Panjang selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di situ.

"Insya-Allah dengan sokongan kalian, kita akan pertahankan kemenangan BN di Parlimen Sungai Besar," katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas itu, Budiman berkata, dalam tempoh berbaki dua hari ini beliau akan terus giat berjumpa dengan penduduk.
"Walaupun saya sudah boleh dikatakan menemui hampir keseluruhan pengundi di kawasan ini, masih banyak lagi kumpulan kecil yang mahu berjumpa dengan saya.

"Saya akan terus bertemu mereka walaupun sekarang saya tidur hanya 2 jam sehari, mungkin dalam 48 jam ini, saya akan tidur pada kadar yang begitu minimum," katanya.

Ditanya pemberita adakah beliau yakin mampu memenangi PRK ini dengan majoriti 1,000 undi, beliau menjangkakan mampu mendapat lebih daripada itu.