Jumlah Pengunjung

Monday 4 November 2013

PERTANDINGAN SENGIT SEKARANG DI SUNGAI LIMAU !!!



Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, hari ini dijangka menyaksikan pertarungan sengit antara Barisan Nasional (BN) dan Pas yang akan mempertahankan kerusi tersebut.
 
BN meletakkan bekas pensyarah kanan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Dr. Ahmad Sohaimi Lazim, 52 sebagai calonnya dan beliau akan bertarung satu lawan satu dengan calon Pas, Mohd. Azam Abdul Samat, 37.

Sebanyak 27,222 pengundi akan menentukan calon daripada parti manakah yang bakal 'ditabalkan' sebagai wakil rakyat baru kawasan itu berikutan kematian penyandangnya yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 26 September lalu.

Daripada jumlah pengundi tersebut, 25,323 pengundi atau 93.02 peratus terdiri daripada kaum Melayu manakala Cina (1,842 atau 6.77 peratus) dan India (15 atau 0.06 peratus).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, Allahyarham Azizan menewaskan calon BN, Mohd.Fazillah Mohd.Ali dan dua lagi calon Bebas dengan majoriti 2,774 undi.

Walaupun pada awalnya, Pas dijangka mendapat laluan mudah untuk mengekalkan kerusi tersebut memandangkan DUN Sungai Limau dikatakan kubu kuat parti itu, namun BN dikatakan berjaya menembusi kubu itu khususnya melalui jentera Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. 

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, dari segi tahap sokongan setakat ini kedua-dua parti boleh dikatakan hampir terikat iaitu peluang untuk menang 50-50.

Berikutan itu, pemerhati politik melihat mana-mana parti yang menang hari ini, jumlah majoriti diramalkan di bawah 500 undi. 

BN masuk ke gelanggang dengan membawa slogan 'Berani Berhijrah' iaitu satu seruan untuk menggesa pengundi Sungai Limau khususnya orang Melayu berhijrah menyokong parti itu bagi membolehkan kawasan tersebut dibangunkan di bawah pentadbiran kerajaan negeri pimpinan, Datuk Mukhriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar.

Pas pula 'meminjam' slogan Pas Kelantan iaitu 'Kekal' dengan matlamat mempertahankan legasi politik parti tersebut di DUN berkenaan yang dikuasai oleh mereka sejak 1995.

Turut menjadi tumpuan dalam pilihan raya kecil ini ialah kedudukan pengundi Cina sama ada mereka akan mengekalkan pendirian seperti mana dalam PRU-13 lalu atau beralih arah dengan memberi sokongan kepada BN.

Kedudukan BN sebagai kerajaan negeri dijangka menjadi pertimbangan kepada pengundi Cina dalam membuat keputusan untuk memilih calon BN atau calon Pas.

Ketika Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan keyakinannya bahawa angin sokongan kini 'bertiup' ke arah BN, Pas pula melalui Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar yakin parti itu akan mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau dengan majoriti tipis.

Apa pun penentuan akan dilakukan oleh 27,222 pengundi yang akan memilih antara Dr.Ahmad Sohaimi dan Mohd.Azam sekali gus memastikan mereka 'berhijrah kepada BN atau 'Kekal' bersama Pas.




No comments:

Post a Comment

Member BSK