Jumlah Pengunjung

Sunday 30 December 2012

PEMIMPIN & NGO HARUS PERTAHANKAN HAK EKSKLUSIF KALIMAH ALLAH !!!

Semua pihak termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin politik wajib mempertahankan pengunaan kalimah Allah kerana kalimah tersebut merupakan hak eksklusif umat Islam.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut berkata, kalimah Allah merupakan kalimah suci yang melambangkan Islam itu sendiri dan tiada siapa yang boleh mempertikaikannya.
Jelas beliau, kalimah Allah adalah kata nama khas berasal daripada bahasa Arab dan penggunaannya dari segi istilah adalah amat sinonim dengan agama dan umat Islam.
"Di dalam al-Quran jelas mengatakan Allah itu Maha Esa dan tidak mempunyai anak, sebaliknya gereja Katholik berpegang kepada konsep triniti, ini sekali gus memberi makna konsep Allah di dalam Islam adalah amat konsisten sehingga umat Islam tidak perlu menterjemahkannya kepada mana-mana bahasa dunia.
"Semua ini jelas menunjukkan tidak ada alasan pun kepada agama lain untuk menggunakan kalimah Allah melainkan mereka mempunyai tujuan jahat. Menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam mempertahankan kesuciannya dengan menolak pengunaan kalimah Allah selain daripada umat Islam," tegasnya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ucapan Krismas beliau baru-baru ini yang menggesa kerajaan membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Nooh menegaskan, tindakan Guan Eng itu juga dilihat mencabar ketinggian agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Di dalam Perlembagaan jelas menunjukkan Islam sebagai agama rasmi dan sebarang usaha penyebaran agama lain adalah bertentangan dengan undang-undang tertinggi negara itu.
"Kerajaan perlu bertindak tegas kerana telah diberi hak oleh Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 11(4) iaitu untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam," ujarnya.
Katanya lagi, jika pengunaan kalimah Allah dibenar untuk digunakan di dalam Bible, keadaan itu sudah tentu akan memberi kesan kepada penyebaran agama Kristian di negara ini.
"Contohnya, jika dibenarkan dikhuatiri akan wujud buku bertajuk 'Mari Mengenali Allah' sedangkan buku itu diterbitkan oleh Kristian.
"Sudah tentu, lebih baik pengunaan kalimah Allah terus dijadikan hak eksklusif kepada umat Islam supaya tidak timbul perkara tidak diingini pada masa akan datang," jelasnya.
Sementara itu bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pusat Perlindungan Wanita di Johor Bahru, beliau berkata, bagi penganut agama lain mereka perlu menggunakan perkataan selain daripada Allah.
"Dia (agama lain) boleh menggunakan kalimah lain iaitu tuhan dan sebagainya. Itu pegangan kita, sebab itu hak mutlak tentu tidak boleh orang lain gunakan. Perkara ini tak perlu nak kaji-kaji, nak kaji apa lagi? Kajian itu untuk benda yang tidak ada, tidak diisytiharkan dan benda yang tiada hukum, tidak jelas dalam al-Quran.
"Perkara ini (penggunaan kalimah Allah) adalah jelas, terang nak kaji apa lagi?" katanya.


No comments:

Post a Comment

Member BSK